Assalamualaikum para pembaca sekalian..
Apakah yang dimaksudkan dengan tajuk di atas? Kedengaran enak pada halwa telinga namun maksudnya cukup tersirat sekali. Revolusi dari sudut pandang Kamus Dewan Edisi keempat memberi takrif membawa perubahan kepada sesuatu atau dalam sesuatu bidang secara radikal iaitu secara meluas, menyeluruh dan cepat. Dari sini dapatlah dihuraikan bahawa mahasiswa merupakan agen yang signifikan dalam hierarki masyarakat bagi memulakan sesuatu perubahan yang mencakupi keseluruhan sistem sosial masyarakat. Mengapa mahasiswa yang harus menggalasnya? Hal ini kerana mahasiswa merupakan modal insan yang dibangga-banggakan dengan harapan dapat mengemudi pemerintahan negara suatu masa nanti.
Menelusuri sejarah pemerintahan negara kita ditunjangi oleh pemimpin masyarakat yang terdiri dari golongan intelektual seperti peguam, doktor, jurutera dan lain-lain yang tidak perlu diragui lagi kehebatan mereka. Namun persoalannya di sini, adakah negara akan terus menghasilkan mahasiswa yang bersifat kepemimpinan secara semula jadi atau perlu diasah sejak dari bangku sekolah lagi? Situasi masa kini di mana segelintir mahasiswa terlibat dalam politik secara terang-terangan atau dijadikan alat oleh sesetengah pihak amat membimbangkan kerana mereka seperti mudah terpengaruh dan tidak memiliki pendirian yang teguh dalam melontarkan pendapat sebagai agen masyarakat. Hal ini menyebabkan ada mahasiswa yang tidak lagi menghormati pemimpin masyarakat dan hilang kepercayaan terhadap mereka, Mahasiswa sebenarnya sudak muak dengan agenda pihak berkepentingan dalam menggunakan mahasiswa untuk meluaskan dakyah mereka.
Mahasiswa seharusnya bangkit dari lena dan jangan biarkan diri mereka dipergunakan sesuka hati oleh pihak yang merasakan duit dan kuasa itu mampu membeli segala-galanya. Gunakan saluran yang betul dalam melontarkan buah fikiran dan jangan bertindak membuta tuli hingga meranapkan masa depan yang menyinar. Ingat, kita masih muda dan masih banyak perkara yang belum kita gapai dalam hidup yang semakin menekan ini, Pastikan kita sentiasa bersikap neutral dalam apa-apa fahaman politik yang diterima dan jangan ada sikap fanatik tanpa membuat pertimbangan yang sewajarnya, Kepimpinan itu seharusnya diasah sejak kecil lagi bagi memudahkan seseorang itu mengurus perjalanan hidupnya kelak.
Akhir kata, jadilah seorang mahasiwa yang sebenar-benarnya, yang ingat akan jati diri, menapak dengan mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk, tetapi tegas dalam perkataan, membuktikan dalam tindakan dengan niat hanya keranaNya. Libatkanlah diri dengan aktiviti kemasyarakatan, kelab mahupun persatuan, kerana negara tidak berjaya sekiranya menjana mahasiswa yang beribu-ribu saban tahun tapi di mindanya asyik dengan katil, kuliah dan kafe sahaja.





















